KUALA LUMPUR: Lagu seperti Trauma, Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu, Sesuatu Di Dalam Dirimu dan G.I.G barangkali hanya dikenali generasi baharu menerusi corong radio, penstriman digital atau tayangan YouTube.
Namun, bagi generasi era 1990-an, memori menyaksikan persembahan lincah dan bertenaga kumpulan Elite secara langsung dianggap nostalgia manis yang sukar dilupakan.
Kini, selepas hampir dua dekad menyepi daripada pentas besar, ‘girl band’ ikonik yang dianggotai Linda Rafar, Sasha Saidin, WaLe Sadali, Abby Abadi dan Azza kembali mencipta fenomena menerusi konsert berskala mega, ELITE LIVE ’25, di Dwan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara, pada 20 September.
Lebih istimewa, penganjuran konsert itu juga sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan Elite.
Mewakili Elite, Linda Rafar mengakui lamaran mementaskan konsert berskala besar adalah peluang keemasan yang disambut dengan perasaan bercampur baur.
“Sudah lama kami tidak berkumpul dan melakukan persembahan secara besar-besaran. Jadi apabila lamaran ini hadir, perasaan kami bercampur baur antara teruja dan gusar.
“Namun, kami bersetuju kerana percaya lagu Elite masih ada tempat di hati peminat. Kami mahu berpesta dengan peminat lama, pada masa sama, meraikan generasi baharu yang mula mengenali siapa kami, “katanya.
Menyedari kekuatan nostalgia dan nilai seni masih terpelihara, konsert ini direalisasikan oleh penganjur berpengalaman, iaitu Icon Entertainment, yang sebelum ini mencipta kejayaan menerusi penganjuran Konsert GenKRU selama empat malam berturut-turut di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Konsert mega yang mencetuskan fenomena itu turut menyaksikan Elite mencuri perhatian dengan kemunculan mengejut mereka.
Malah, sambutan hangat serta pertanyaan bertali arus daripada peminat mengenai kelangsungan Elite selepas kemunculan itu menjadi pemangkin utama terhasilnya ELITE LIVE ’25.
Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang, menyifatkan ELITE LIVE ’25 sebagai detik bersejarah yang bukan sahaja bakal mengukir kenangan manis buat kumpulan Elite, malah menjadi momen penting buat industri muzik tanah air.
“Penganjuran ELITE LIVE ’25 bukan dibuat ‘tangkap muat’. Projek ini melalui fasa perancangan, penelitian dan pelaksanaan yang teliti.
“Kami sedar ‘girl band’ seperti Elite bukan sekadar nostalgia, tetapi masih relevan dan mempunyai kelompok peminat setia yang besar,” jelasnya.
Tang menambah industri hiburan kini berkembang pesat dengan banyak penganjur berlumba-lumba menganjurkan konsert. Namun, syarikatnya komited menyajikan persembahan bermutu tinggi serta meninggalkan impak jangka panjang.
Sebelum ini, timbul desas-desus kononnya Elite bakal mengadakan konsert selepas kumpulan itu mewujudkan akaun rasmi di Instagram (IG).
Bagaimanapun, Linda ketika dihubungi tidak mengesahkan atau menafikan perkara itu. Sebaliknya, dia dilapor menyatakan Elite terbuka untuk menerima apa sahaja tawaran.
Tiket konsert ELITE LIVE ’25 serendah RM268 hingga RM1,088 mula dijual hari ini.