Stacy ‘terbang’ di Sabah

Stacy 'terbang' di Sabah

KOTA KINABALU: Kejayaan Konsert Aku Stacy (Menggegar Kota U) di sini, Sabtu lalu, membuktikan Stacy Anam masih relevan selepas hampir dua dekad bergelar anak seni.

Terkenal sebagai penghibur lincah ketika beraksi di pentas, Stacy menyifatkan populariti dikecapinya bukanlah perjalanan mudah dan datang bergolek.

Memilih Sabah sebagai lokasi konsert solo pertamanya, Stacy atau nama sebenarnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, 35, menyatakan sudah menjadi impiannya sejak mula bergelar penyanyi mementaskan konsert sulung di negeri kelahiran sendiri.

Bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, isteri kepada penyanyi, Akim Ahmad itu memukau hampir 3,000 peminat yang mahu menyaksikan dirinya beraksi secara dekat.

Dengan pentas yang gah dan pencahayaan canggih selayaknya persembahan bertaraf antarabangsa, anak jati Penampang ini mampu membuatkan semua penonton yang hadir tidak berganjak selama hampir tiga jam konsert berlangsung.

Tampil dengan 10 busana, Stacy memberikan elemen terbaik dan selayaknya digelar penghibur.

“Saya rasa puas hati betul malam ini. Penantian selama tiga tahun akhirnya berbaloi kerana ini betul-betul ‘Stacy’ punya konsert.

“Siapa sangka saya bermula daripada bawah, sertai program realiti, keluar sebagai penyanyi dan kini mampu mengadakan konsert sendiri.

“Sebab itulah saya sangat berpuas hati dengan persembahan diberikan dan berharap semua peminat dan penonton terhibur,” katanya ketika ditemui media sejurus konsert selesai.

Dianjurkan Rhythm & Rhyme Entertainment dan dibawa U Mobile selaku penaja utama, tirai konsert dibuka penuh bertenaga menerusi lagu Pakai Buang yang menampilkan Stacy dalam persalinan ranggi hitam, putih dan merah.

Disambut sorakan gemuruh peminat tegarnya, malam terus membara dengan lagu ikonik Stacy seperti Cakap Ke Tangan, Not For Sale, Gilalah, Bosan dan banyak lagi sehinggalah single terbaharunya, Menyala.

Lebih dramatik pada malam itu apabila Stacy ‘terbang’ di tengah-tengah dewan ketika mempersembahkan lagu Khayal menjadikan seluruh ruang bergema dengan jeritan keterujaan.

Penonton kemudian larut dalam emosi ketika Stacy mendendangkan lagu balada berhantunya seperti Kisah Dongeng dan Pelangi Senja.

Dalam pada itu, Stacy turut menyelitkan persembahan istimewa lagu Asmaradana yang pernah dibawakannya ketika menyertai program The Hardest Singing Show dengan diberi sentuhan istimewa busana serta elemen budaya Sabah.

Segmen duet bersama suami tercinta antara moment ‘bersemut’ ditampilkan Stacy pada malam itu.

Akim dan Stacy membuka persembahan segmen terbabit dengan lagu Inggeris popular, Die With A Smile nyanyian asal Lady Gaga & Bruno Mars.

Disambut tepukan hangat pasangan romantis dua sejoli itu kemudian menghiburkan penonton menerusi rangkaian lagu Aku, Kau dan Muzik serta Ritma dan Rima sebelum Akim tampil solo dengan single Rmpas daripada Akim & The Majistret.

Selain energi ditampilkan isterinya, lontaran vokal mantap serta penampilan berkarisma Akim disimpulkan antara yang memukau penonton pada malam konsert.

Konsert ditutup dengan lagu ikonik Aku Stacy yang disifatkan Stacy sebagai pengenalan dan simbol jatuh bangun buat dirinya dalam bidang seni 20 tahun yang lalu.

Diacarakan pelawak bersahaja, Atu Zero, konsert Aku Stacy (Menggegar Kota U) turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis jemputan termasuk Amir Masdi, Elica Paujin, Hafiz Zainal dan Dabra Sia.

Read More…