Spider pentaskan konsert akustik, Oktober depan

Spider pentaskan konsert akustik, Oktober depan

KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan konsert perdana tahun lalu, kumpulan rock berasal dari Johor Bahru, Spider, kembali ‘mengganas’ dengan Spider Unplugged Concert pada skala lebih besar di Mega Star Arena di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada 25 Oktober depan.

Memilih persembahan secara akustik, konsert Spider yang dianggotai Tam selaku vokalis; Aie (dram); Iss (bes) dan Pown (gitar), dibawakan Naga Legend Entertainment.

Tam menjelaskan, konsep akustik diinspirasikan daripada kumpulan terkenal seperti Nirvana, Search dan Slam yang masing-masing pernah tampil dengan kaedah serupa.

“Sebenarnya, apa saja lagu yangdicipta dalam album bermula dengan gitar akustik. Kita bermain gitar akustik untuk cari lagu atau ilham.

“Contoh, kita ambil kumpulan Nirvana, persembahan mereka selalunya energetik dengan aksi ‘headbanging’. Tetapi, tiba-tiba sekali mereka buat konsert akustik.

“Persembahan itu menjadikan mereka dekat dengan peminat,” katanya pada majlis pengumuman Spider Unplugged Concert di sini, baru-baru ini.

Tam mengaku berdebar menjayakan konsert akustik berikutan kebanyakan lagu Spider berentak rancak.

“Dari lagu asal hendak diubah kepada akustik, memang mencabar. Selalunya, konsep ‘unplugged’ dipersembahkan dalam ‘showcase’ kecil.

“Jadi, untuk menjadikan persembahan lebih menarik, kami akan olah lagu ke dalam melodi joget, inang atau dimainkan lebih perlahan dengan diiringi gendang,” katanya.

Tam turut berkongsi hasrat membawa Ratu Rock, Ella berduet pada konsert itu.

Tam berkata, setakat ini, mereka masih belum melamar Ella, namun, berharap hasrat itu dapat direalisasikan.

“Saya terbayang Ella kerana peminat belum pernah tengok kami berduet. Kalau ada rezeki, kami berhajat undang Ella menyanyikan lagu Dunia Batinku,” katanya.

Biarpun teruja melakar satu lagi kejayaan Spider melalui konsert akustik, Tam terkilan dua anggota band itu tidak dapat beraksi sama.

Ditanya sejauh mana kesan emosi atas kehilangan dua anggota asal Spider, iaitu Allahyarham Tony Iskandar dan Allahyarham Napie terhadap perjalanan band itu, Tam berkata, perjuangan muzik harus diteruskan demi peminat.

“Agak ralat kerana Spider menunggu hampir 20 tahun untuk mementaskan konsert pertama, tahun lalu, Ketika itulah, band kami tidak lengkap.

“Kalau mereka masih ada, tentu lebih seronok. Namun, ajal tidak boleh dikawal dan perjuangan mesti diteruskan,” katanya.

Bekas pemain bes Spider, Allahyarham Tony Iskandar meninggal dunia selepas ditemukan tidak bernyawa atas sofa di studio rakaman Luncai Emas pada 2021.

Tahun lalu, gitaris kumpulan berkenaan, Napie pula dijemput Ilahi selepas serangan angin ahmar.

Read More…