KUALA LUMPUR: Gandingan Tay Cher Haw dan Liew Vin Sern mempamerkan persembahan terbaik untuk menjuarai pusingan kedua Cabaran Golf Dunia Korporat (WCGC) Malaysia di Tropicana Golf & Country Club, Petaling Jaya di semalam.
Cher Haw dengan handikap sembilan dan Vin Sern (18) yang mewakili Seng Haw Timber Sdn Bhd berjaya mengumpulkan 49 mata menerusi sistem `two ball best ball stableford’ untuk mengenepikan cabaran 124 pemain sekali gus meraih gelaran tajaan Enotech itu.
Kejayaan itu sekali gus membolehkan gandingan berkenaan layak untuk berentap pada final WCGC Malaysia di Kota Permai Golf & Country Club pada 25 September ini bersama empat lagi pasukan teratas.
Tiga mata di belakang untuk gelaran naib juara adalah gandingan mewakili MG Synergy, Mohd Azmi Mahmud (6) dan Azhar Husain (13) dengan 46 mata.
Pemain pasukan The Widad Skycore (M) Sdn Bhd, Isyraf Widad Muhammad Ikmal Opat (2) dan Mohd Adib Ibrahim (8) menduduki tempat ketiga menerusi himpunan 45 mata selepas kiraan semula (OCB).
Tempat keempat milik Muhammad Feyyaz (9) dan Amirul Adli Senu (5) mewakili Feyyaz Sports Group, juga 45 mata delepas OCB.
Gandingan mewakili Sinar Jernih Sdn Bhd, Muhammad Firdaus Said (5) dan Mohd Azwan (17) pula di tempat kelima dengan himpunan 45 selepas OCB.
Pada pusingan pertama di Seri Selangor Golf Club, Petaling Jaya bulan lalu, lima gandingan pertama berjaya menempah tempat ke pusingan final.
Mereka adalah Syah Rizal Basri dan Mohd Rizal Mohd Sahibek mewakili Megar Jaya 1, Hafizi Zainal dan Abdul Malik Hasim (Event Pro Venture) dan Nor Azhar Mohamad Noor dan Mohd Izzad Ibrahim (NA Sales & Services).
Dua lagi adalah Draman dan Khairun mewakili Mega Bina Trading serta Roslan Piei (5) dan Megat Shariffudin Shaharuddin (InfraSel Sdn Bhd).
Pusingan ketiga saingan WCGC Malaysia akan diadakan di Glenmarie Golf & Country Club pada 22 Julai ini manakala pusingan keempat di Templer Park Country Club (21 Ogos).
Pasukan juara saingan akhir peringkat Malaysia akan mewakili negara ini pada pusingan final dunia di PGA Anying Golf Club, Shanghai, China pada 19 hingga 23 Oktober ini.
Raja Muda Selangor yang juga Penaung Diraja kejohananan, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan melancarkan WCGC Malaysia di Glenmarie Hotel & Golf Resort pada 23 April lalu.
Selain Kementerian Belia dan Sukan, penganjuran WCGC Malaysia turut mendapat sokongan Persatuan Golf Malaysia (MGA), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).