AKPS siasat dakwaan operasi sindiket ‘phantom travel’ di KLIA

AKPS siasat dakwaan operasi sindiket 'phantom travel' di KLIA

KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjalankan siasatan lanjut susulan dakwaan wujudnya sindiket ‘phantom travel’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Untuk rekod, sindiket itu dipercayai membabitkan kakitangan kerajaan yang mahu ke luar negara tanpa dikesan dibantu sindiket yang memanipulasi rekod perjalanan dalam sistem imigresen.

AKPS berkata siasatan berfokus kepada dakwaan pembabitan pegawai yang bersekongkol dengan sindiket berkenaan dengan tidak merekod pergerakan pelawat masuk ke negara ini mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengenakan bayaran tertentu bagi mengelak dikesan majikan masing-masing.

“Agensi ini sentiasa bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen dalam membuat penambahbaikan pemeriksaan pelawat di pintu-pintu masuk negara, terutama di KLIA.

“Dengan adanya penggunaan ‘autogate’ sepenuhnya bagi pelepasan keluar, pembangunan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) dan penggunaan teknologi AI, AKPS percaya isu ‘counter setting’, ‘flying passport’ dan ‘phantom travel’ yang membabitkan pegawai dapat dikurangkan dan dihapuskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

AKPS turut menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawai yang mencemarkan nama baik agensi melalui pelanggaran integriti.

“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah.

“AKPS juga mengalu-alukan orang awam untuk melaporkan salah laku integriti pegawai melalui e-mel aduan.integriti@mcba.gov.my atau hadir sendiri ke pejabat AKPS, Unit Integriti di Putrajaya,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal media tempatan melaporkan sindiket ‘phantom travel’ di KLIA itu didakwa membabitkan kakitangan kerajaan yang ingin ke luar negara tanpa dikesan pegawai atasan mereka.

Menurut laporan portal berkenaan, pengembara terbabit melalui kaunter khas imigresen yang dikawal pegawai bersekongkol, sekali gus membolehkan butiran perjalanan mereka direkod secara tidak sah atau langsung tidak direkod dalam sistem imigresen.

Read More…