By Bernama
P Sathia Seelan, 52, mengaku salah atas 10 pertuduhan pilihan di Mahkamah Sesyen KL.KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan didenda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen atas 10 pertuduhan pilihan memperdaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berhubung kursus dan latihan tidak wujud membabitkan RM496,000, lima tahun lalu.Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas P Sathia Seelan, 52, mengaku bersalah atas semua pertuduhan pilihan semasa sebutan kes.Suzana turut memerintahkan lelaki berkenaan dipenjara 10 bulan sekiranya gagal membayar denda.Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-10, Sathia didakwa memperdaya dua pegawai Perkeso untuk mempercayai dokumen mengandungi senarai nama kehadiran dan tandatangan peserta bagi tiga kursus yang tidak pernah dijalankan atas nama lima syarikat bertarikh antara 4 Dis 2020 dan 22 Julai 2021.Perbuatan itu mendorong Perkeso membuat bayaran RM496,000 kepada Syarikat Global Education Network Sdn Bhd milik tertuduh, sedangkan bayaran tidak akan dibuat jika pertubuhan itu tidak diperdaya.Sathia didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Menara Pejabat Sistem Insurans Pekerjaan, Perkeso di Putrajaya antara 23 Dis 2020 dan 12 Ogos 2021 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.Sementara itu dalam prosiding sama, rakannya R Nanthagopal, 43, turut didenda RM300,000 atau penjara 10 bulan selepas mengaku bersalah bersubahat atas kesalahan sama, serta di tempat, dan masa sama.Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 akta sama, membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon mahkamah menjatuhi hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap kedua-dua tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan sama.Peguam R Babu Naidu yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya telah insaf dan memberi kerjasama penuh kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepanjang siasatan sejak 2023.